Koperasi sekolah merupakan salah satu daripada kegiatan ko-kurikulum yang terdapat di sekolah menengah. Penubuhannya perlu dilihat oleh pengetua dalam banyak sudut dan bukan sebagai pusat pembelian peralatan sekolah sahaja. Skop dan ruang sumbangan koperasi sekolah amat luas dan kejayaannya memenuhi kehendak dan keperluan anggotanya adalah kejayaan bersama.
Sebagai salah satu daripada fungsi koperasi berdaftar di Malaysia, matlamat penubuhan koperasi sekolah mampu mewujudkan persekitaran yang sihat terhadap pembangunan koperasi. Matlamat ini tidak akan tercapai tanpa penglibatan pengetua yang benar-benar memahami, menghayati dan melaksanakan ideologi koperasi. Kepentingan ini telah disuarakan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia dalam kertas kerjanya ‘Ke Arah Memantapkan Pengurusan Koperasi Sekolah’ semasa Perayaan Hari Koperasi Sekolah (PHKS) tahun 2002. Empat perkara pokok yang perlu ada untuk memastikan pengurusan koperasi berjalan dengan baik dan berkesan untuk warga koperasi sekolah merangkumi:
a. Penghayatan terhadap matlamat penubuhan koperasi sekolah;
b. Memahami dan menghayati jati diri koperasi, tadbir urus koperasi dan perundangan koperasi;
c. Melaksanakan peranan, hak, tanggungjawab dan kewajipan; dan
d. Amalan demokrasi dalam melaksanakan dasar pembangunan koperasi sekolah.
Atas dasar semangat kepunyaan bersama, pengetua perlu memanfaatkan segala ilmu pentadbiran dan pengurusan yang diikuti sebagai landasan awal membentuk, merancang dan melaksanakan pembangunan koperasi sekolah masing-masing.
Prestasi dan pencapaian sesebuah koperasi sekolah masa kini boleh dikatakan tidak menentu yang mempunyai hubung kait dan pihak pentadbiran sekolah yang diketuai oleh pengetua. Umumnya, agak sukar kita menjadikan sesebuah koperasi sekolah untuk dijadikan contoh jika penyelidikan dan kajian tahunan dari segi strategi dan pencapaian tidak dibuat oleh Jabatan Pembangunan Koperasi (JPK) Malaysia. Untuk ini, pengetua masa kini dan masa hadapan perlu memastikan wujudnya kesinambungan di dalam hal ini.
Peranan Pengetua dalam pembangunan kegiatan koperasi sekolah boleh dilihat dalam dua aspek iaitu:
- Komitmen
- Pengetahuan Koperasi
Komitmen
Keprihatinan pengetua terhadap kegiatan ko-kurikulum sekolah masing-masing hendaklah sama rata dan tidak tertumpu kepada bidang-bidang tertentu. Ianya telah digariskan dalam Falsafah Pendidikan Negara (FPN) bahawa kegiatan koperasi sekolah mampu membantu proses pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah dalam
Penerapan Nilai FPN
Jalinan hubungan dengan kurikulum.
Penerapan Nilai FPN
FPN yang dijadikan garis panduan dan teras dalam pembangunan sistem pendidikan di Malaysia merupakan satu entiti yang jelas dalam pembentukan pelajar yang seimbang dan berketerampilan. Nilai yang terkandung dalam FPN dan nilai dalam koperasi (seperti sadik, amanah dan telus), jika dihalusi dan diteliti dengan mengambil kira pelbagai faktor persekitaran sekolah mempunyai perkaitan yang jelas.
Hubung kait kedua-dua nilai mampu memberi ruang kepada pengetua memperkenalkan kepentingan kegiatan dan perkhidmatan koperasi dengan meluas kepada para pelajarnya.
Untuk mencapai matlamat ini, perbincangan antara pengetua dan guru koperasi dalam memperkenalkan kaedah terbaik kepada semua pihak terlibat amat penting. Atas kesedaran ini, pengetua dapat menyumbangkan idea atau pandangan tentang elemen-elemen pentadbiran dan pengurusan pendidikan yang lebih cekap dan efisien untuk memastikan guru koperasi menerapkannya dalam setiap aktiviti dan perkhidmatan koperasi. Penerapan ini melalui mobilisasi anggotanya ke arah yang lebih cemerlang dari segi perubahan etika.
Jalinan Hubungan Dengan Kurikulum
Berdasarkan mata pelajaran di sekolah menengah, Pengetua sekolah boleh membahagikannya kepada dua bahagian iaitu teras dan alternatif dalam mengaitkannya dengan kegiatan dan perkhidmatan koperasi. Dalam bahagian teras, ianya merangkumi mata pelajaran seperti Kemahiran Hidup, Ekonomi Asas, Sains Pertanian, Matematik, Prinsip Akaun dan Perdagangan, manakala bahagian alternatif merangkumi mata pelajaran sejarah, geografi dan lain-lain mata pelajaran.
Pembahagian ini berkaitan dengan jenis kegiatan yang menjadi tumpuan koperasi sekolah seperti penjualan peralatan sekolah, kantin, dobi, pelancongan yang memerlu-kan latihan dan kemahiran dalam catatan, pengiraan dan pentafsiran dokumen-dokumen utama koperasi. Galakan berterusan dari pihak Pengetua akan menaruh keyakinan kepada guru koperasi untuk memberi kepercayaan kepada pelajar-pelajarnya melibatkan diri secara langsung dan memberi bahan-bahan tersebut kepada guru akademik bagi dijadikan contoh pembelajaran dalam kelas.
Melalui proses pembelajaran dan pengajaran di dalam kelas, akan mempermudahkan pengetua dan guru akademik untuk melihatkan kecemerlangan pelajarnya dalam menguasai sesuatu tajuk dari semasa ke semasa.
Kesinambungan daripada ini, sesebuah sekolah mampu melahirkan pelajar yang cemerlang dalam kedua-dua bidang dan berupaya melahirkan pelajar yang berilmu, berwawasan dan berdaya maju.
Pengetahuan Koperasi
Pengetua masa kini amat bertuah di dalam mendalami pergerakan koperasi sekolah kerana Jabatan Pembangunan Koperasi (JPK) Malaysia, Maktab Kerjasama Malaysia (MKM) dan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) dan Kementerian Pelajaran mempunyai hubungan erat di dalam pelbagai program pendidikan koperasi seperti kursus wajib, seminar, bengkel dan forum.
Sebagai langkah awal, Pengetua perlu mengikuti kursus wajib Anggota Lembaga Koperasi (ALK) yang dianjurkan oleh MKM dan ANGKASA. Kursus ini memberi peluang kepada pengetua untuk memahami jati diri koperasi, tadbir urus koperasi, hak dan tanggungjawab ALK, perundangan koperasi dan kewangan koperasi dengan lebih baik berbanding dengan sebelum ini. Semasa mengikuti kursus ini, pengetua tidak perlu berasa malu untuk mengemukakan persoalan-persoalan yang berhubungkait dengan mentadbir dan mengurus koperasi sekolah serta permasalahan yang sering dihadapi di dalam merancang dan melaksanakan gerak kerja koperasi.
Yang penting, kursus wajib ini membuka lembaran baru kepada pengetua untuk mencorak hala tuju koperasi sekolah masing-masing ke arah yang lebih baik dan berkesan. Pemahaman pengetua dalam persoalan ini memudahkan tugas dan tanggungjawab yang telah diamanahkan kepada guru-guru untuk membuat perancangan tahunannya bagi melahirkan pelajar yang berketerampilan dan berwawasan sepertimana yang terkandung di dalam matlamat penubuhan koperasi.
Pada masa yang sama, Pengetua sekolah mendapat majalah koperasi iaitu PELANCAR yang diberikan secara percuma sebanyak lima naskhah setiap bulan. Berdasarkan kepada maklumat tentang kegiatan dan perkhidmatan yang dibangunkan oleh koperasi sekolah yang telah ditemu bual maka memudahkan pengetua dan guru yang terlibat membuat kajian, penyelidikan dan perbandingan untuk pembangunan koperasi sekolah masing-masing.
Seiringan dengan itu, Pengetua boleh mendapatkan buku bergambar tentang kegiatan koperasi sekolah yang bertajuk Portraits Of School Cooperatives, buku Pelancongan Koperasi Sekolah dan sebagainya daripada pihak ANGKASA untuk mening-katkan lagi pengetahuan tentang hala tuju gerakan koperasi di Malaysia.
Perkembangan teknologi maklumat masa kini membantu pengetua memantapkan diri tentang ilmu koperasi berbanding sebelum ini. Atas galakan Kementerian Pelajaran banyak sekolah telah membangunkan ruangan WEB sendiri dan ianya mempermudahkan hubungan langsung antara satu sekolah dengan sekolah yang lain. Begitu juga dengan kemudahan melayari laman WEB yang dibangunkan oleh agensi dan badan yang terlibat secara langsung dengan gerakan koperasi sekolah.
Perkongsian maklumat antara koperasi sekolah, antara koperasi sekolah dengan agensi seperti JPK Daerah, MKM dan ANGKASA membantu pengetua masa kini mengetengah idea-idea baru yang lebih sempurna seiring dengan FPN dan matlamat penubuhan koperasi sekolah.
Kesimpulan
Adalah sesuatu yang merugikan jika pengetua masa kini tidak mengambil berat atau mengambil tahu tentang sumbangan dan faedah gerakan koperasi sekolah untuk para pelajar yang terdiri daripada pelbagai gender dan sosiobudaya.
Pengamalan tadbir urus koperasi yang baik di dalam pentadbiran dan pengurusan koperasi sekolah adalah tunjang kepada pembangunan kecemerlangan aktiviti dan perkhidmatan koperasi sekolah. Atas kesedaran dan keyakinan pengetua sekolah, ianya dapat dilaksanakan dengan sepenuhnya dan dipertahankan daripada mana-mana pengaruh yang boleh menjejaskan matlamat dan hala tuju koperasi sekolah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan